Tuesday, December 16, 2008

ERTI KERJASAMA ERAT KERAJAAN PUSAT, TERENGGANU

Hubungan erat antara Kerajaan Pusat dan Terengganu tidak dapat dinafikan sesiapa, malah tradisi ini cukup menyerlah ketika bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi.

Kini pada era Datuk Ahmad Said, tradisi itu diperkukuhkan melalui hubungan dengan Timbalan Perdana Menteri (bakal Perdana Menteri), Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ini dibuktikan dengan dua langkah awal iaitu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan royalti minyak.

Kerajaan Pusat secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri Terengganu menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.

Najib berkata, Mesyuarat Kabinet Rabu lalu menyifatkan pesetujuan itu menggambarkan kerjasama erat kerajaan pusat dan kerajaan negeri Terengganu bagi menjamin masa depan rakyat negeri berkenaan.

Najib berkata pada 13 Disember lalu, pada prinsipnya, cadangan ini telah pun diluluskan oleh jemaah menteri.

TIA adalah tindakan bersejarah bagi Kerajaan Terengganu kerana ia belum dilakukan negeri lain apabila dilaporkan akan menubuhkan TIA dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.

Matlamatnya ialah menjana pertumbuhan ekonomi mapan serta menjamin pembangunan negeri secara berterusan.
Terengganu kini mempunyai 1.1 juta penduduk dengan tahap miskin tegar antara tertinggi di Malaysia, iaitu 6.5 peratus.
Bagi menjamin fungsinya bergerak untuk tujuan jangka panjang, TIA akan melabur semula keuntungan untuk mendapatkan pertumbuhan lebih tinggi.
Dividen akan diumumkan dan akan dikembalikan kepada kerajaan negeri serta rakan pelaburnya.
Selain itu, Terengganu juga sudah diberikan bayaran royalti dan cek bayaran royalti minyak berjumlah RM408.6 juta sudah diserahkan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Penyerahan turut membabitkan Najib dan duit royalti ini penting untuk Terengganu bagi memacukan pembangunan yang sesetengahnya adalah pendekatan baru yang diperkenalkan oleh Ahmad Said.

Dalam konteks royalti, menurut Ahmad Said, sejumlah RM6.2 bilion wang royalti sudah disalurkan kepada akaun kerajaan negeri selepas Kerajaan Pusat menyerahkan semula pengurusan royalti minyak negeri yang sebelum ini dikenali sebagai Dana Khas Persekutuan dan Wang Ihsan.

Jumlah itu termasuk RM408.6 juta diserahkan oleh Najib, pada majlis khas yang diadakan di Stadium Negeri, Sabtu lalu.

Kerajaan Terengganu sebenarnya masih menunggu senarai perbelanjaan lengkap wang royalti kerajaan Terengganu yang sudah digunakan Kerajaan Pusat.

"Setakat ini, jumlah perbelanjaan wang royalti minyak Terengganu yang disahkan sudah digunakan kerajaan Pusat adalah RM700 juta yang digunakan bagi membiayai projek perumahan yang dibangunkan SPNB (Syarikat Perumahan Negara Bhd), manakala RM800 juta lagi dibelanjakan untuk program pembangunan di negeri lain.

"Sebanyak RM1.5 bilion ini akan dituntut semula kerajaan negeri termasuk pelbagai perbelanjaan lain yang belum disahkan Kementerian Kewangan," katanya ketika menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu kelmarin.

Ahmad berkata, kerajaan negeri hanya dapat membuat tuntutan pemulangan baki wang royalti yang digunakan Kerajaan Pusat sesudah butiran senarai perbelanjaan diperoleh dan rundingan akhir dilaksanakan.

"Itulah sebabnya proses saman menyaman antara Terengganu dan kerajaan Pusat masih diteruskan. Ketika ini beberapa rundingan masih berjalan dan saman yang dikemukakan kerajaan negeri juga belum ditarik balik," katanya.

Dan kelmarin, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan berjumlah RM1.799 bilion sebagai anggaran Bajet 2009 untuk menampung pelbagai perbelanjaan termasuk membangunkan negeri ini dengan tumpuan untuk mempersiapkan diri bagi mengharungi krisis ekonomi yang sedang berlaku.

Menurut laporan Utusan Malaysia, penyediaan belanjawan yang besar itu semata-mata untuk menjamin pelaksanaan projek yang boleh memberi impak besar serta dapat memberi faedah langsung kepada rakyat selain cuba untuk mengimbangi kesan kemelesetan ekonomi.

Walaupun dunia dijangka menghadapi zaman sukar namun kerajaan negeri tidak mengurangkan belanjawan sekalipun pungutan hasil akan menjadi semakin sukar.
''Peruntukan pembangunan, kita cadangkan sebanyak RM900 juta dan bajet pengurusan RM924 juta.

''Perbelanjaan pembangunan akan mengaktifkan kitaran ekonomi dan dapat mewujudkan rantaian ekonomi yang boleh meredakan keadaan. Dengan adanya peruntukan projek-projek kecil akan memastikan kontraktor kecil tidak gulung tikar dan usahawan kecil terus mendapat tempahan," kata Ahmad ketika membentangkan Bajet 2009 pada sidang Dewan Undangan Negeri kelmarin.

Anggaran bajet tahun depan meningkat berbanding RM1.673 bilion tahun ini bertujuan memastikan segala projek pembangunan lebih menjurus ke arah kesejahteraan dan kemakmuran hidup rakyat berjalan lebih lancar.

Katanya, daripada angka tersebut sebanyak RM43.02 juta adalah untuk Perbelanjaan Tanggungan manakala RM1.756 bilion Perbelanjaan Bekalan.
Menurutnya, dalam Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM219.47 juta adalah untuk Emolumen, perkhidmatan dan bekalan (RM155.69 juta), aset (RM42.04 juta),
pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM1.338 bilion) dan RM1.16 juta untuk lain-lain perbelanjaan.

Bagi kedudukan Kumpulan Wang Pembangunan pula telah mencatat defisit RM79.16 juta pada 31 Disember 2007 berbanding baki sebanyak RM154.12 juta pada tahun 2006.

Kedudukan Kumpulan Wang Bekalan Air juga sudah bertambah sebanyak RM7.92 juta kepada RM134.72 juta pada 31 Disember 2007, dengan peningkatan sebanyak 5.99 peratus dari RM127.10 juta pada tahun sebelumnya.

Ahmad Said berkata, walaupun ketidaktentuan ekonomi dunia dan harga minyak mentah belum lagi stabil, kita perlu merancang dan membuat anggaran sebaik mungkin.

Dengan mengambil kira faktor-faktor yang jelas pada waktu ini adalah dianggarkan Kerajaan Negeri dapat memungut sebanyak RM1.799 bilion.

KERAJAAN BANTU PEKEBUN KECIL

Kerajaan membuktikan betapa ia prihatin terhadap masalah yang dihadapi pekebun kecil getah apabila Risda bersedia menangguhkan pembayaran hutang mereka.
Tujuannya ialah meringankan beban mereka ketika harga bahan itu sedang jatuh sekarang.

Saya tahu sangat masalah ini kerana pulang berhari raya Aidiladha baru-baru ini, orang yang menoreh getah milik Allahyarham ayah saya mengeluh kerana harga tidak sebaik sebelum ini.

Lebih memburukkan kini ialah musim tengkujuh, malah menurutnya sejak Oktober lalu, hujan yang turun tidak menentu menyulitkan sekali.

“Biasanya dapat banyak juga, melebih RM1,200 sebulan tetapi sejak Ogos lalu, pendapatan tidak menentu dan sejak Oktober, hendak melepasi RM300 pun sukar,” katanya.

Mungkin penoreh berkenaan bernasib baik kerana tiada hutang dengan Risda tetapi bagaimana mereka yang terpaksa membayar kembali hutang mereka kepada agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu?

Jadi apabila Risda bersedia menangguhkan pembayaran hutang ke suatu masa yang bersesuaian apabila ekonomi dunia stabil, pastinya akan melegakan pekebun kecil.

Menurut penganalisis ekonomi, keadaan mungkin stabil pada hujung tahun 2009 atau awal 2010,” kata
Pengerusi Risda, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, semalam berkata.Risda sebagai agensi kerajaan tidak mahu membebankan pekebun kecil dalam keadaan sekarang,

Risda juga akan membantu pekebun kecil getah yang mahu menceburi projek penternakan lebah dan cacing serta tanaman serai bagi meningkatkan pendapatan mereka berikutan kenaikan kos sara hidup serta keadaan harga getah yang merudum.

Beliau menyatakan perkara ini selepas merasmikan Bengkel Pengurusan Koperasi Pekebun Kecil (KPK) 2008, di Port Dickson semalam.

Abdul Rahim berkata, projek ekonomi sedemikian boleh membantu mengurangkan beban pekebun dan menambah pendapatan walaupun ada yang mempunyai aktiviti ekonomi seperti menternak lembu atau kambing.

Risda kini mempunyai dana RM150 juta untuk disalurkan kepada projek ekonomi yang diusahakan KPK di seluruh negara dengan aspek pemasaran produk dilakukan agensi itu tanpa menggunakan orang tengah.

Kerajaan mahu pekebun kecil mengusahakan aktiviti ekonomi lain seperti projek lebah dan cacing, selain tanaman serai. Ia sebagai jaminan pendapatan jangka panjang selain menampung ekonomi terutama apabila berlaku penurunan harga getah di pasaran seperti sekarang.

Selain itu, pekebun kecil yang berminat mengusahakan projek lebah akan dibekalkan keperluan berkaitan, termasuk sarang, induk dan 2,000 lebah yang dijangka dapat membiak sehingga 6,000 ekor untuk mengeluarkan madu yang kemudian diproses dan dipasarkan oleh Risda.

"Kita juga akan membantu mereka dari segi latihan dan tunjuk ajar untuk menjayakan projek berkenaan. Bantuan sama juga akan disalurkan bagi pekebun yang mahu mengusahakan projek serai dan cacing," katanya sambil meminta KPK memainkan peranan mencari peluang ekonomi baru untuk membantu ahli.

Mengenai prestasi kewangan KPK, beliau berkata, 62 koperasi berkenaan mencatatkan keuntungan keseluruhan RM13.7 juta dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu, tetapi masih jauh daripada sasaran RM18.6 juta.

Daripada jumlah itu, 13 KPK berjaya memperoleh keuntungan lebih RM300,000, manakala 15 koperasi lagi menerima penghargaan sebagai koperasi terbaik daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

BUATLAH KEPUTUSAN BIJAK HARGA PETROL, DIESEL BERSUBSIDI NELAYAN

Kenapa lambat bertindak? Kajian demi kajian?

Kenapa sampai ada demonstrasi baru mahu mengkaji untuk turunkan harga diesel dan petrol bersubsidi nelayan?

Hari ini harga runcit petrol dan diesel dikurangkan sebanyak 10 sen seliter bermakna harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter; petrol RON92 daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter dan diesel daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter.

Pada 2 Disember lalu, harga petrol RON97 diturunkan daripada RM2 kepada RM1.90 seliter manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter.

Juga, kenapa kerajaan tidak boleh menurunkan harga diesel dan petrol bersubsidi kepada RM1 seperti didesak oleh nelayan, sebaliknya harga baru ialah RM1.30 sen?

Apa rasionalnya?

Yang peliknya Kementerian Pertanian dan Asas Tani membuat kenyataan bercanggah apabila sekali tidak mahu melayan tuntutan supaya harga diesel subsidi menjadi RM1 dan beberapa jam selepas itu, melalui satu kenyataan Menterinya, mengatakan kerajaan akan mengkaji permintaan berkenaan.

Beberapa hari lalu, kira-kira 20,000 nelayan menyertai boikot terbesar tidak ke laut bagi mendesak kerajaan menurunkan harga diesel kepada RM1.

Nelayan membuat tuntutan itu kerana harga diesel tahun ini telah turun sebanyak enam kali, tetapi nelayan masih membayar harga yang sama iaitu RM1.43 seliter.

Harga diesel di pasaran sekarang dijual RM1.80 seliter.

Sin Chew Online melaporkan, boikot membabitkan 5,000 bot itu akan mengurangkan separuh bekalan ikan negara.

Boikot adalah anjuran Persatuan Nelayan Selangor dan Perak turut disertai nelayan-nelayan dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang dan Sarawak.

Selasa lalu, 143 bot di Kota Kinabalu enggan turun ke laut bagi membuat desakan yang sama.

Nelayan-nelayan di Sabah mendakwa mereka mengalami kerugian akibat harga diesel dan hasil tangkapan ikan merosot.

Dua pemilik kapal berkenaan Cheong Eng Tiang dan Mu Ven Kong dilaporkan berkata mereka mengalami kerugian antara RM5,000 dan RM10,000 sebulan sejak enam bulan lepas.

Akhir bulan lepas, anggota parlimen DAP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat berhubung empat tuntutan nelayan.

Usul itu bagaimanapun ditolak oleh Yang Dipertua Dewan.

Selain meminta kerajaan menurunkan harga minyak subsidi kepada RM1.00 seliter, 20,000 nelayan itu mendesak kerajaan mengurangkan pencerobohan nelayan asing, menyegerakan elaun sara hidup RM200 sebulan dan membuka Zon A dan Zon B perikanan kepada nelayan asing.

Reaksi kepada tunjuk perasaan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan Sabtu lalu, harga diesel dan petrol bersubsidi ditunkan 13 sen kepada RM1.30 seliter mulai hari ini tetapi ada nelayan pukat tunda yang tidak berpuas hati dan menuntut supaya ia diturunkan lagi kepada RM1 seliter.

Bagaimanapun, penurunan ini jelas tidak setara yang didesak oleh nelayan supaya harga diesel dan petrol bersubsidi diturunkan kepada RM1.

Belum ada jawapan atau penjelasan konkrit kenapa harga bahan ini masih 30 sen lebih tinggi daripada dituntut.

Setakat ini jawapan mudah ialah pelaksanaan harga baru itu menyebabkan kerajaan akan menanggung tambahan perbelanjaan kira-kira RM197 juta setahun.

Mustapa berkata, kerajaan tidak mungkin menurunkan harga petrol dan diesel bersubsidi kepada RM1 seliter seperti tuntutan 20,000 nelayan yang boikot ke laut mulai Jumaat lepas.

Katanya, selain penambahan kuota diesel sebanyak 4,000 liter sebulan sejak awal bulan ini, kerajaan turut menawarkan insentif pendaratan sejak Jun lepas sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram tangkapan bagi pemilik-pemilik kapal tunda serta elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan bagi anak-anak kapal.

Beliau berkata penurunan harga diesel dan petrol bersubsidi akan memberi penjimatan perbelanjaan bahan bakar antara RM260 sehingga RM4,160 sebulan bergantung kepada zon tangkapan dan saiz vessel.

“Penjimatan bagi vessel pukat tradisi Zon A (kawasan operasi 0 hingga lima batu nautika dari pantai) adalah sebanyak RM260 sebulan, vessel pukat tunda Zon B (lima hingga 12 batu nautika) sebanyak RM2,600 sebulan.

“Vessel pukat tunda Zon C (12 hingga 30 batu nautika) sebanyak RM3,120 sebulan dan vessel pukat tunda Zon C2 (lebih 30 batu nautika) sebanyak RM4,160 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mustapa berkata kerajaan juga pada 3 November lepas telah menambah kuota diesel dan petrol bersubsidi daripada 106 juta liter sebulan kepada 126 juta liter sebulan bagi menampung kegunaan diesel dan petrol akibat penambahan lesen vessel baru terutama lesen sampan sebanyak 15,900 buah yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.

“Berikutan permohonan daripada pemilik vessel pukat tunda, kerajaan pada tarikh yang sama telah meluluskan tambahan kuota sebanyak 4,000 liter sebulan bagi setiap vessel pukat tunda Zon C dan C2,” katanya.

Beliau berkata penurunan harga serta tambahan kuota diesel dan petrol bersubsidi itu sewajarnya memberi pulangan tambahan kepada nelayan daripada segi pengurangan kos dan peningkatan pendaratan ikan.

"Nak puaskan hati semua pihak memang mustahil," katanya selepas perhimpunan bulanan kementerian itu kelmarin, lapor Bernama.

Semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengalah dan membuat pusingan 180 darjah apabila berjanji akan mengemukakan cadangan mengenai penurunan harga diesel subsidi kepada Kabinet Jumaat ini.

Mustapa menjelaskan, cadangan itu adalah sejajar dengan permintaan nelayan di seluruh negara yang mahukan harga diesel subsidi diturunkan berikutan penurunan harga petrol dan diesel buat kali kelima baru-baru ini.

Beliau berkata, kementerian telah menyiapkan kertas kerja mengenai cadangan penurunan harga diesel subsidi yang disifatkan akan dapat melegakan nelayan seluruh negara.

''Cadangan ini diambil hasil daripada maklum balas yang diperoleh selepas bertemu dengan persatuan nelayan dan nelayan sebelum ini. Memang masalah subsidi diesel sering dibangkitkan dan kita sudah ada jalan penyelesaian yang akan dibawa kepada kabinet Jumaat ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Interaksi Nelayan Bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani semalam.

Mustapa berkata, isu mengenai diesel adalah perkara yang rumit dan memerlukan kerajaan memberikan perhatian yang serius. Ini kerana kementeriannya terpaksa mendapat pandangan daripada Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum cadangan itu dikemukakan kepada Kabinet.

Mustapa berkata jika dilihat daripada segi logik, dan daripada maklumat tidak rasmi, nelayan-nelayan tersebut sebenarnya turut memperoleh pendapatan yang besar.

"Peruntukan untuk insentif pendaratan adalah RM130 juta setahun, dan jangkaan tuntutan adalah RM11 juta sebulan tapi yang dituntut cuma RM2.9 juta saja.

Bagi Mustapa, ini bermakna mereka juga mendapat pendapatan yang besar kerana mereka
tidak memerlukan insentif ini, (malah) ada yang takut buat pengisytiharan, takut pihak lain mendapat rahsia kejayaan mereka.

Selain itu, harga ikan pun dah naik secara purata RM1 sekilogram berbanding tahun lalu.

“Ini membuktikan mereka tidaklah susah!” tegas Mustapa.