Tuesday, June 2, 2009

SEORANG MANUSIA BERSAMA ZAHARIN

Ada yang membenci dan ada yang seronok dengan manusia bernama Zaharin Mohd Yassin atau Sang Kelembai.

Malah, bukan calang-calang, rakyat biasa seperti Zaharin berani berperang dengan bekas Perdana Menteri selama hampir empat tahun.

Malah, sedikit sebanyak – walau sekelumit pun – Zaharin turut menyumbang atau penyebab bekas Perdana Menteri tidak dapat duduk senang dan akhirnya mengundurkan diri.

Sang Kelembai ialah nama samaran digunakan untuk kolum dalam Harian Watan antara 1994-1997. Ada dua tiga orang yang menyumbang untuk kolum itu, termasuk saya ketika menjadi Ketua Pengarang Watan antara 1996-1997. Sebelum itu Zahari Affandi menulis untuknya.

Kini Zaharin sudah diterima kembali menjadi ahli UMNO. Tarikhnya sama dengan penerimaan kembali Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Datuk Mokhzani Mahathir dan beberapa yang lain.

Bukan kecil tu. Seiring dengan nama bekas Perdana Menteri. Yang membezakan ialah Zaharin dipecat dan Tun serta keluarga isytihar keluar UMNO.

Tidak apalah, sekurang-kurangnya Zaharin mempunyai prinsipnya sendiri tidak akan bertolak ansur dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin dan Patrick Lim.

Bagi Zaharin, “UMNO ditubuhkan bukan berasal dari kaum peniaga atau saudagar, kerana seorang saudagar tentu akan memperlakukan kekuasaan saperti berjual beli barang. Urusan kekuasaan bukan untung dan rugi tetapi bagaimana mempertahankan kepercayaan.”

Satu perkara yang Zaharin tidak akan bertolak ansur ialah apabila kerosakan dilakukan terhadap UMNO walau oleh sesiapa jua.

Kata Zaharin kepada saya, “Sesiapa juga yang cuba menjahanamkan UMNO akan saya tentang...termasuk Najib (Datuk Seri Mohd Najib Razak) kalau beliau rosakkan UMNO. Tetapi saya yakin Najib tidak akan melakukan perkara serupa seperti Presiden UMNO sebelum ini.”

Selamat berjuang kembali kepada Zaharin – sebagai blogger dan ahli UMNO!

ANTARA CERITA MOHD SAYUTI OMAR DAN RAMLI ABDUL HALIM

Saya malas nak tulis politik Terengganu hari ini.

Saya nak cakap pasal PAS dan Kelantan.

Ini kerana saya tertarik dengan dua cerita yang dibawa oleh Mohd Sayuti Omar (MSO) dan Ramli Abdul Halim mengenai seseorang.

Dan dua cerita ini pasti mengenai satu orang sahaja. Saya amat yakin - potong jari kalau tidak betul.

Orang ini difahamkan sedang berusaha melonjak sejauh mungkin dalam PAS kerana baginya pertandingan ini bagai hidup mati.Hidup mati untuk apa? Hidup mati bercita-cita menjadi Perdana Menteri, paling kurang Timbalan Perdana Menteri dan paling kurang sekali Menteri.

Cerita MSO ada kena mengena dengan si desperado sementara cerita Ramli pula mengenai seseorang yang tidak mengendahkan orang lain (mementingkan dirilah tu namanya).

Menurut MSO: “Ada beberapa maklumat yang tersampai ke telinga saya bagaimana aksi si desperado ini bertindak kotor. Ia menggunkan berbagai tektik yang tidak halal tanpa mengira di mana dia berdiri. Dia sedia melakukan kebusukan mekipun dia berada di atas mimbar dalam masjid? Terdengar si desperado ini telah bermain kotor dengan membuat fitnah kepada calon lain.

Antara ayat-ayat yang sampai kepada saya ialah, calon desperado berkenaan telah menuduh calon lain itu sebagai tidak sembahyang dan main perempuan di luar negara. Kata-kata ini sungguh jijik dan kotor. Kata-kata lahir dari halkum seorang yang hilang maruah dan kredibiliti.

Nampaknya feil dan perangai Yahudi sudah pun digunakan. Ajaran Yahudi yang dibenci itu sudah dianuti oleh ahli Pas. Dan strategi dan tektik Yahudi telah dipraktikan dan dibawa ke dalam Pas. Sungguh malang sekali. Kejadian ini katanya berlaku di Johor dan disebarkan secara halus di beberapa tempat lain.”

Sementara itu, melalui posting pada Khamis, 28 Mei 2009, dengan tajuk “Elakan kewujudan datuk nikah kahwin dalam Pas” Ramli Abdul Halim berkata: “ADA seseorang menelefon saya dan memaklumkan bahawa ada tokoh kebanggaan, tokoh harapan dan tokoh serba sempurna pada kacamata, persepsi dan penilaian pendukung dan penyokong Pas, kini hidup dalam sumpahan bapa sendiri yang kononnya cukup kenal fe'el perangai dan hati budi serta perut pedal anaknya.

Yang sedihnya, ketika bapanya mati kerana kemalangan jalanraya, tokoh berkenaan yang berkereta resmi melalui tempat orang ramai berkerumun untuk mendapakan maklumat dan kepastian siapa yang terlibat dalam kemalangan itu, tokoh berkenaan tidak berhenti pun untuk bertanya khabar walaupun kejadian itu berlaku tidak berapa jauh dari tempat tinggalnya.

"Dari segi sepatutnya, walaupun yang mati kemalangan itu tok fakir sekalipun, sebagai wakil rakyat, dia kena berhenti tanya khabar tentang apa yang berlaku, malah kalau mangsa kemalangan itu masih hidup, boleh tolong call ambulans untuk dibawa ke hospital secepat mungkin" gerutu si pemanggil.

Walaupun diberikan nama penuh kepada saya siapa tokoh berkenaan, saya tidak bercadang, malah tidak akan menyebut namanya, bukan kerana takut kena saman tetapi kerana mahu menjaga adat dalam memberikan maklumat dan teladan. Saya sanggup posting tulisan ini pun kerana pada pertimbangan saya, ianya ada unsur-unsur keteladanan.

Bapa kepada tokoh berkenaan yang kononnya tidak berapa suka anaknya itu menjadi wakil rakyat dikatakan pernah berkata (sebagai sebab musabab dan alasan kenapa beliau tidak suka anaknya jadi wakil rakyat) bahawa jika anaknya menang, mahu tidak mahu kemenangan itu akan membawa petaka. Tentulah sebagai bapa, dikenali dan diketahui tentang anaknya melebihi dari yang umum kenali dan ketahui.

Tokoh itu sendiri kononnya di kelilingi oleh waris warah yang berpihak kepada Umno, malah bapanya sendiri pun dikatakan tidaklah telalu Pas sangat pun. Kerana itu sikap tokoh berkenaan agak libralisme. Kononnya sanggup wujudkan media sendiri, malah kaki-kaki minum arak pun boleh dijadikan rakan dan digunakan sebagai anggota pasukan think-tank.”
Apa yang menarik mengenai orang ini ialah, dia mendapat perlindungan baik daripada pemimpin terkenal PAS.

Bagi orang ini seolah-olah dia tidak pernah membuat dosa dan menjadi bongkak kerana ‘perlindungan ini’.

Malah beberapa kes rasuah yang diadukan katanya boleh lepas begitu sahaja kerana dia ada ‘kekebalan’ tertentu.

Di kalangan media, dia amat berpengaruh dan katanya sanggup berbelanja besar demi menjaga reputasinya.

Apapun, kita lihatlah nasibnya pada pemilihan PAS nanti!

CERITA KACANG LUPAKAN KULIT

Saya malas nak tulis politik Terengganu hari ini.

Saya petik tulisan ini dari blog malaysia-hariini.com untuk anda baca dan nilai sendiri.

Kumpulan 10/18 Terengganu - Jangan jadi kacang lupakan kulit !


Monday, 01 June 2009
KEMELUT politik Terengganu nampaknya seperti tidak ada jalan penyudah. Kumpulan Wakil Rakyat yang mewakili kepentingan diri sendiri terus-terusan menekan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said supaya meletakkan jawatan. Dalam keadaan parti UMNO BN sedang menghadapi masalah, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan 10 ataupun Kumpulan 18 mengambil kesempatan untuk meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan serta keperluan rakyat sekaligus bagaikan mempersendakan slogan Perdana Menteri Najib yang mahu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Tindakan yang dikatakan diketuai oleh bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, YB Dato Rasol Wahid bukan sahaja mencetuskan rasa tidak senang rakyat Terengganu secara keseluruhannya tetapi tindakan beliau bersama kumpulannya yang menyokong bekas Menteri Besar sebelum ini, Idris Jusuh disifatkan juga menghina institusi Kesultanan Terengganu, bagaikan melempar najis ke muka Tuanku Mizan yang berkenan melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar menggantikan Idris Jusuh.

Mereka langsung hilang rasa hormat kepada Tuanku Mizan.
Kumpulan 18 ini bukan lagi pemimpin berjiwa rakyat. Bukan lagi seorang pejuang tulen yang meletakkan UMNO itu sebagai roh ataupun jiwa yang perlu mereka pertahankan. Mereka hanya mahu menjadikan UMNO itu sebagai alat semata-mata dalam usaha mereka mengejar pangkat, harta dan kedudukan.

Mereka sudah tidak malu alah bukan sahaja kepada diri mereka sendiri tetapi mereka langsung mengenepikan peranan Sultan Terengganu dalam perlantikan seseorang Menteri Besar.
Kerenah kesemua mereka ini tidak jauh bezanya dengan pemimpin pembangkang yang dulunya UMNO tetapi hari ini berada di luar UMNO, apabila mereka gagal mendapat keuntungan peribadi, pangkat dan jawatan terutamanya Perdana Menteri, mereka menyerang dan memburukkan parti mereka sendiri yang selama ini telah menukar mereka daripada seorang yang tidak mempunyai apa-apa kepada yang mempunyai segala-galanya.

Mereka ini adalah tergolong dari kalangan pemimpin yang tidak mengenang budi, pemimpin yang tidak mengenang jasa UMNO, pemimpin yang telunjuknya lurus tetapi kelingking berkait dan lebih malang lagi pemimpin ini bukan sahaja memburukkan UMNO malah mereka boleh mengeji lebih dari itu walaupun budi mereka kepada UMNO dan BN tidak sebesar mana. Dan mereka memilih untuk membalas budi UMNO dan BN dengan sanggup menjadi penderhaka kepada Sultan mereka sendiri, Perdana Menteri dan seluruh kepimpinan UMNO di semua peringkat.

Mereka diberikan gelaran Wakil Rakyat, dianugerahkan berbagai-bagai pingat dan UMNO menobatkan mereka dengan segala penghargaan-penghargaan lain tetapi akhirnya mereka ini memilih untuk menikam UMNO dari belakang apabila Ahmad Said meletakkan kepentingan rakyat lebih utama daripada kepentingan peribadi pemimpin yang terbabit.

Semua orang tahu kenapa mereka ini mahu Idris Jusuh dikembalikan sebagai Menteri Besar dan semua orang tahu kenapa mereka ini begitu sekali mengugut supaya Ahmad Said digantikan dengan pemimpin lain. Mereka yang tahu boleh tepuk dada, tanya selera.


Tidak cukup dengan itu, mereka mula mengugut parti, kononnya untuk keluar dari UMNO dan menjadi ADUN Bebas dan lebih mendukacitakan lagi mereka sanggup merancang untuk mengadakan undi tidak percaya kepada Menteri Besar yang diperkenan oleh Sultan, Perdana Menteri dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan BN. Ahmad Said harus melakukan sesuatu kepada mereka yang sedang memperalatkan UMNO ini. Rakyat percaya ada antara mereka tidak sebersih mana, tidak sesuci kain putih. Kerakusan sewaktu kepimpinan Idris Jusuh sehingga membawa kepada kemurkaan Sultan harus didedahkan supaya rakyat tahu kenapa mereka ini beriya-iya sekali mempamerkan rasa benci serta meluat kepada kepimpinan Ahmad Said, Tidak ada sebab tempua mahu bersarang rendah. Untuk UMNO dan BN yang selama ini terlalu banyak jasa kepada rakyat dan Negara, Ahmad Said harus ada keberanian, sekurang-kurangnya membuktikan kepada Sultan dan rakyat Terangganu, mereka sudah bosan dengan perangai keji wakil rakyat ini. Kepada semua kumpulan 10 ataupun 18 ini, renungkanlah ke dalam diri, patutkah mereka bertindak sedemikian dalam saat UMNO sedang mengukuh parti dalam usaha menambat hati rakyat. Kepada Idris Jusuh, nasihatkanlah mereka ini untuk jadi seorang ahli UMNO yang sejati serta maamun yang baik kepada imam yang sedang diuji ini. Itupun kalau mereka ini benar-benar sayangkan UMNO dan BN. Kalau tanpa UMNO dan BN, mereka ini sebenarnya hanya malukut ditepian gantang.

STADIUM SULTAN MIZAN RUNTUH

(Berita awal)

Bagaikan tidak percaya. Stadium Sultan Mizan yang majlis perasmian stadium tersebut yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu (2008), runtuh pagi ini.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ini.

Belum diketahui sejauh mana kerosakan terhadap stadium berkenaan. Berita lanjut akan menyusul nanti.

Bagaimanapun difahamkan bahagian bumbung yang melengkung ranap dan menghempap tempat duduk.

Sebuah kereta dikatakan rosak teruk.
Menteri Besar dijangka akan mengadakan sidang media mengenainya petang ini.

Stadium ini adalah sebahagian kompleks sukan termoden yang bernilai RM350 juta di bina di kawasan 150 hektar selain prasarana sukan termasuk bowling, skuasy dan badminton.

Ketika perasmian dilakukan 50,000 orang membanjiri stadium yang dianggap tercanggih di Pantai Timur itu dan menjadi mercu tanda bagi negeri Terengganu.

Stadium berkenaan mula dibina pada 27 Mac 2005 dan siap mengikut jadual.

Stadium tersebut juga akan menjadikan Terengganu sebagai antara penganjur Sukma terbaik di negara ini.

Stadium pelbagai guna itu kebanyakannya digunakan untuk perlawanan bola sepak.
Ia mampu membuatkan hampir 60,000 penonton.

Ia terkenal kerana menjadi gelanggang utama Sukma 2008 yang menjadikan Terengganu johan keseluruhan temasya itu.