Sunday, November 22, 2009

HUSAM MERAJUK, NIK AZIZ PUJUK?

(Sembang Ahad)

Sepatutnya berita Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Husam Musa mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan Kelantan saya baca dalam blog Mohd Sayuti Omar (MSO).

Ini kerana semua orang tahu Sayuti dan Husam ‘berperang besar’.

Tiba-tiba hari ini Mingguan Malaysia, menyiarkan di muka hadapan dengan tajuk “Husam Letak Jawatan?”

Apa juga penjelasan Husam atau keputusan yang dibuat oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan dalam isu Husam mahu melepaskan jawatan , ia menggambarkan dengan jelas wujudnya satu lagi episod yang menggambarkan perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Husam sebelum ini beberapa kali dikatakan menyatakan kesediaannya untuk berundur sekiranya beliau menjadi liabiliti kepada parti. Namun ada juga pihak yang mengatakan khidmat Husam masih diperlukan dalam membantu Nik Aziz mentadbir negeri ini.

Ada portal berita yang melaporkan Husam juga mendakwa wujud konspirasi untuk menyingkirkan beliau daripada pentadbiran kerajaan negeri dengan mencetuskan perbalahan di antara beliau dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah, khabar angin menyatakan bahawa Nik Aziz sedang menimbangkan untuk menggugurkan Husam daripada barisan Exco Kelantan ekoran isu pemecatan Syed Azidi Syed Abdul Aziz sebagai Pengarah Perhubungan Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) minggu lalu.

Syed Azidi yang lebih dikenali dengan laman blognya Kickdefella, pula dilihat sebagai antara orang kanan Husam.

Yang menarik pada satu blog penyokong kuat Husam yang menyebabkan berlakunya ‘Perang PMBK”, Kickdefella mengatakan beliau akan terus mempertahankan Husam. Ini menunjukkan Kickdefella amat percaya dan sanggup ‘bergadai bergolok” untuk tuannya.

Bagi Kickdefella, beliau sanggup melanggar siapa sahaja, mungkin termasuk Nik Aziz jika Husam ‘dianianya’.

Kata Kickdefella, “Saya akan merasa amat gembira jika Dato’ Husam tinggalkan Kerajaan Negeri Kelantan. Ini kerana semenjak 3 tahun saya mengenalinya saya dapat merasakan betapa penderitaan yang menimpanya dan keluarganya kerana sandiwara politik dalaman PAS Negeri Kelantan.

Tidak berada didalam Kerajaan dan tinggalkan PAS adalah yang terbaik buat Husam tetapi ia adalah malatpetaka buat PAS Kelantan dan rakyat yang memerlukan pembelaan. Saya berani berkata, Kerajaan Negeri Kelantan sudah tidak berminat membela insan-insan kecil. Yang masih mempertahankan insan-insan kecil hanya dua tiga orang sahaja lagi di dalam exco Kerajaan Negeri dan Husam adalah seorang darinya…Saya akan pertahankan Husam.”

Mingguan Malaysia melaporkan, Husam dikatakan mahu melePASkan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan pada pertemuan empat matanya dengan Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan pada pertemuan empat mata Selasa lalu.

Husam dikatakan menjelaskan kepada Nik Aziz bahawa beliau tidak terlibat atau menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku dalam PMBK. Penjelasan Husam itu diterima Nik Aziz tetapi hasratnya untuk meletakkan jawatan ditolak.

Sebaliknya Nik Aziz memberikan cuti selama lima hari bermula hari ini kepada Husam yang juga exco kanan kerajaan negeri untuk berehat dan menenangkan fikiran.

Nik Aziz dikatakan mengumumkan Husam cuti selama lima hari bermula hari ini pada mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kelantan di kediaman rasminya, JKR 10 pagi semalam. Husam dilaporkan tidak hadir pada mesyuarat ini. Dalam tempoh cuti tersebut, Husam juga akan menjalani pembedahan tulang belakang selepas ditangguhkan sejak dua bulan lalu.

Tindakan Husam untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan yang dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman yang diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman. Abdul Ariffahmi yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan menantu Nik Abdul Aziz.

PAS Kelantan melalui Setiausaha Badan Perhubungannya, Mohd. Zaki Ibrahim sebaliknya berkata, perkara itu hanya khabar angin dan mereka tidak mahu mencampuri isu yang dihadapi Nik Abdul Aziz kerana menyifatkan ia tidak ada kena-mengena dengan politik.

Mohd. Zaki menafikan perkara tersebut dan menyifatkannya sebagai khabar angin. Katanya, PAS Kelantan tidak mahu mencampuri isu berkaitan yang dihadapi Nik Abdul Aziz kerana menyifatkan ia tidak ada kena-mengena soal politik.

“Ia khabar angin sahaja dan jika benar sudah tentu dalam mesyuarat hari ini ada dibincangkan (perkara ini). Kita tidak pernah membincangkan soal ini, sebaliknya ia masalah pentadbiran yang boleh diselesaikan sendiri Tok Guru (Nik Aziz) selaku Menteri Besar,” katanya.

Mohd Zaki boleh menafikan apa sahaja namun, yang nyata pergolakan dalam kerajaan Kelantan dan PAS Kelantan




KRISIS MCA, UMNO TIDAK MELIHAT SEBELAH MATA

Rakyat semua kaum – bukan Cina sahaja – sedang memerhatikan apa sebenarnya formula untuk memulihkan krisis yang melanda MCA.

Sebagai rakan rapat UMNO, MCA perlu dipulihkan kerana terjejasnya sokongan terhadap MCA akan menjejaskan juga peluang UMNO untuk terus menjadi parti unggul di negara ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan tepat apabila berusaha sama-sama mengatasi kemelut yang melanda MCA.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri berkata Jumaat berkata beliau telah mencadangkan rancangan untuk menyelesaikan kemelut itu selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama parti yang bertelagah sehari sebelum itu.

Walaupun tidak mendedahkan formula tersebut tetapi Najib semestinya meminta pemimpin yang terbabit untuk mengkaji cadanganyang beliau percaya akan diterima oleh semua pihak yang terbabit.

Pada Rabu lalu (18 November), Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan pelaksanaan pelan perpaduan MCA yang sehingga kini tidak menampakkan sebarang kesan sebaliknya krisis dalaman parti itu semakin kusut dan menyerlahkan proses cantas-mencantas.
Timbalan Pengerusi BN itu berkata, kegagalan MCA menyelesaikan krisis parti itu menyebabkan UMNO mungkin terpaksa mengambil alih peranan membantu masyarakat Cina di negara ini. Menurutnya, UMNO tidak mahu campur tangan tetapi bimbang jika krisis dalaman parti itu tidak diselesaikan segera, UMNO mungkin terpaksa berbuat demikian.

Beliau yang kecewa dengan kegagalan MCA menyelesaikan masalah dalamannya turut menggesa parti itu supaya mencari jalan bagi menyelesaikan krisis kepimpinannya yang kini semakin 'gawat'.''Adalah tidak elok untuk UMNO memainkan peranan yang sepatutnya dilakukan oleh MCA dalam menarik sokongan kaum Cina terhadap BN. Kita dalam Barisan Nasional (BN) melihat perkembangan dalam MCA secara dekat dan berharap penyelesaian bijaksana untuk menyelesaikan konflik yang berlaku.”

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berpendapat, semua ahli dan kepimpinan perlu ikhlas, jujur serta melakukan pengorbanan dengan mengetepikan kepentingan peribadi dan sentimen berpuak-puak.

Sementara Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata pemilihan semula parti itu akan membolehkan anggota akar umbi menggunakan hak dan menzahirkan hasrat memilih kepimpinan yang dimahukan.

Menurut laporan media hari ini, mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua MCA mungkin tidak akan diadakan. Ini kerana komponen parti Barisan Nasional (BN) kedua terbesar itu mungkin mengadakan pemilihan semula dalam tempoh enam bulan.

Kedudukan terkini ialah kumpulan yang diketuai Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersetuju mengadakan pemilihan semula selepas sistem undian terus dikemas kini -- iaitu antara enam ke lapan bulan.

Bagaimanapun, kumpulan yang diketuai Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai mahukan pemilihan semula itu diadakan secepat mungkin apabila EGM yang sepatutnya diadakan pada 28 November ini, dibatalkan.

Liow semalam bertegas untuk mengadakan EGM kedua pada 28 November ini. Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan akur jika semua perwakilan bersetuju untuk mengadakan pemilihan parti yang akan ditentukan tarikhnya secepat mungkin.

“Buat masa ini, EGM masih diteruskan seperti yang dicadangkan sebelum ini. Jika semua pihak bersetuju untuk mengadakan pemilihan parti, maka EGM itu tidak perlu diadakan,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Najib semalam, beliau berkata, Perdana Menteri menyambut baik cadangan untuk mengadakan pemilihan parti.“Perdana Menteri berpendapat pemilihan parti akan menjadi satu wadah untuk menyelesaikan krisis dalaman MCA kebelakangan ini.

Bagaimanapun, kami (perwakilan MCA) harus meneliti beberapa perkara penting sebelum mengambil apa-apa keputusan berhubung EGM mahupun pemilihan parti,” jelasnya.

Bagi Naib Presiden MCA itu, apa-apa keputusan yang diambil dengan persetujuan perwakilan MCA, pihaknya akan mengumumkan secepat mungkin.

“Apa yang penting bagi kami adalah menyelesaikan masalah dalaman parti seperti yang dikehendaki oleh beberapa pihak termasuk Perdana Menteri. Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek turut setuju dengan cadangan pemilihan parti. Maka, kini tugas kami adalah mendapatkan pandangan daripada semua perwakilan MCA,’’ jelasnya.

Amat jelas kedua-dua pihak kini berusaha ke arah pemilihan baru. Cuma persoalannya ialah bilakah pemilihan semula itu akan diadakan kerana kedua-dua pihak yang berbalah tidak bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan untuk pemilihan semula itu diadakan.

Yang jelas, EGM kedua yang dirancang pada 28 November ini berkemungkinan besar akan dibatalkan sekiranya mereka bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula.
Namun, sehingga sekarang kedua-dua pihak masih lagi berbincang kerana terdapat cadangan ia sepatutnya diadakan dalam tempoh enam bulan.

Menurut laporan, Ong telah menyerahkan tugas rundingan itu kepada Dr Chua kerana beliau telah berlepas ke London semalam bagi menghadiri perjumpaan tahunan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO). Beliau dijadualkan pulang Rabu depan.

Dr Chua enggan mengulas mengenai rancangan itu kecuali berkata sekiranya pemilihan semula itu diadakan, paling awal ia akan diadakan Mac tahun depan dan pemilihan itu akan menggunakan sistem undian terkini dan bukannya sistem undian terus seperti yang dicadangkan.

"Pendirian kami tidak pernah berubah. Kami bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula tetapi bukan mengadakan EGM pada 28 November ini," katanya.

Ini menunjukkan hari-hari mendatang ini begitu penting buat MCA dan perkembangannya perlu diikut dengan rapat oleh UMNO untuk menjamin rakan karibnya dalam BN bersatu semula.
Soal penting ialah persetujuan agar pemilihan semula boleh diadakan dengan persetujuan kedua-dua pihak.

Yang penting ialah bilakah dua kumpulan yang bertelagah akan berkompromi apabila Perdana Menteri telah meluahkan harapannya untuk melihat krisis dalaman MCA diselesaikan secepat mungkin.

Najib telahpun mengarahkan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perbincangan bersama pemimpin MCA berdasarkan formula yang dicadangkan.

Ini kerana Perdana Menteri telah berlepas ke Amerika Syarikat untuk lawatan dan akan ke Trinidad and Tobago untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).