Saturday, June 26, 2010

KEMELUT POLITIK PKR SELANGOR SUDAH TERLALU PARAH?

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan dakwaan bahawa wujudnya sekumpulan 15 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu menyingkirkan beliau hanya satu spekulasi.

Ini kerana hingga kini beliau tidak menerima apa-apa memorandum atau surat bantahan daripada mana-mana pihak yang menggesa supaya beliau berundur.

Ditanya sekiranya ada pihak yang akan menghantar memorandum kepadanya bagi mendesak agar beliau melepaskan jawatannya, Abdul Khalid berkata: "Saya akan terima dan baca."

Isu wujudnya perbalahan di Selangor kembali timbul apabila Naib Presiden PKR, Azmin Ali bertindak melepaskan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada Rabu lalu.

Dilaporkan antara sebab Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak mengumumkan pengundurannya daripada PKNS kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan Abdul Khalid yang tidak merujuk kepada kepimpinan tertinggi PKR.

Dikatakan juga beliau turut tidak berpuas hati dengan keputusan Abdul Khalid melantik Faekah Husin sebagai Setiausaha Politiknya bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Itu kata Khalid. Namun, ada khabar mengatakan beliau akan disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor. Ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

Permukiman dua hari PKR yang akan diadakan Shah Alam mulai hari ini dan esok dikatakan medan untuk ‘menyerang’ Khalid. Malah, ia juga medan untuk menyuruhnya turun daripada kedudukannya sekarang.

Khalid kini tidak mempunyai apa-apa jawatan penting dalam parti.

Yang pasti sejak beberapa hari lalu, beberapa akhbar, termasuk berbahasa Inggeris mengatakan sekumpulan 15 ahli parlimen daripada PKR bergabung tenaga untuk menyingkirkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Sebelum ini, beberapa media menyebut semua anggota parlimen PKR itu mahu Khalid berundur dan melepaskan jawatan sebagai menteri besar Selangor.

Khalid, ketika menyampaikan hak milik tanah kepada penduduk di Kampung Sungai Yu, di Kuala Selangor semalam menganggap laporan itu hanya satu spekulasi.

Ditanya apa tindakan beliau sekiranya diberikan surat mengandungi desakan kumpulan itu, Abdul Khalid berkata: "saya akan terima dan baca".

Apapun, isu mengenai dakwaan ‘rampasan kuasa’ terhadap Khalid oleh sekumpulan ahli parlimen PKR, dijangka menjadi topik panas dalam permukiman parti itu di Shah Alam itu.

Bagaimanapun, naib presiden PKR, R Sivarasa berkata, pemukiman hanya akan membincangkan perkara-perkara berkaitan strategi parti untuk berdepan dengan pilihanraya umum akan datang.


Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam pula berkata memang ada perbincangan dan desakan terhadap Menteri Besar Selangor mengenai hala tuju pentadbiran negeri itu pada sesi pertemuan baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan ada desakan pemimpin parti supaya Abdul Khalid berundur daripada jawatannya. “Memang ada perbincangan mengenai pentadbiran kerajaan Selangor dan isu parti, tetapi tidak pula ada desakan beliau berundur jawatan Menteri Besar.

“Kalau ada konflik masa perbincangan itu hanya perkara biasa, mana-mana parti pun sama. Cuma banyak desakan dilemparkan terhadap (Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, mengenai keputusannya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS),” katanya semalam.

Pengarah Strategik parti itu, Tian Chua mendakwa, memang wujud desakan supaya Abdul Khalid melakukan rombakan membabitkan beberapa kakitangan penting di pejabat kerajaan negeri. Katanya, segelintir pemimpin parti mahu tenaga kerja itu dipecat kerana dipercayai dilantik ketika kepemimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo.

“Ada desakan supaya kakitangan kerajaan negeri yang dilantik Barisan Nasional (BN) dipecat kerana gagal memberi kerjasama, tetapi kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya memecat mereka, jadi Abdul Khalid perlu bijak menanganinya,” katanya.

Ketua penerangan PKR Latheefa Koya pula mengesahkan bahawa salah satu daripada dua perkara dalam agenda permukiman tersebut ialah mengenai pentadbiran Selangor, dengan fokus khas untuk mencari jalan bagi parti menyalurkan lebih banyak input dalam dasar-dasar kerajaan negeri.

Sumber-sumber lain parti itu pula membayangkan bahawa pihak parti akan mendesak senarai baru ahli exco negeri, bagi membuka ruang kepada ahli PKR memainkan peranan dalam kerajaan negeri.

Selain isu ‘pemberontakan dalam PKR Selangor’ Khalid juga berdepan dengan kritikan terhadapnya dalam isu perkongsian kuasa pembangkang di negeri itu.

Model perkongsian kuasa dalam kerajaan Selangor - satu kerjasama antara PKR dan DAP - yang mempunyai hampir sama banyak wakil rakyat dalam kerajaan negeri akhir-akhir ini sering diperkatakan. PAS merasakan pihaknya sering diketepikan sementara PKR berusaha memperkukuhkan cengkamannya di Selangor sebagai persediaan untuk pilihan raya umum yang dikatakan tidak lama lagi.

Azmin turut dikatakan sebagai ketua ‘rampasan kuasa’ membabitkan kumpulan 15 ahli parlimen tersebut, selepas pemerhati politik mengesan tanda-tanda wujudnya hubungan semakin buruknya dengan Khalid.


Keadaan ini dikatakan memberikan kesan kepada imej parti.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pastinya akan terasa bahang akibat pergeseran dalaman PKR dan kecacatan dalam politik Selangor perlu beliau perbetulkan.

Pilihannya bagaimana? Apakah mengekalkan kedua-dua – Azmin dan Khalid – atau memencilkan salah seorang daripadanya.

Perkembangan terbaru ini benar-benar menguji Anwar kerana kedudukan yang ‘telan mati emak dan luah mati bapak’ tidak akan mendatangkan kebaikan kepada PKR dan semestinya apa juga tindakannya akan mencalarkan maruah parti.

Bagaimanakah akan dilakukan kelak?

Mampukah Anwar menjamin ‘rambut dalam tepung yang ditarik tidak putus’ dan Azmin serta Khalid dapat diperbaikkan semula?

Sejauh ini nampaknya Azmin tidak boleh bersabar lagi. Diasak oleh wartawan berhubung khabar angin pergeserannya dengan Khalid, Azmin kelmarin menafikannya tetapi mengakui sesetengah pihak di parti itu mempunyai beberapa isu dengan menteri besar berkenaan.

Namun katanya, beliau bukan seorang daripada mereka.

"Ini bukan isu saya. Ia luahan ahli dalam parti. Anda lihat pada kongres lalu...kebanyakan perwakilan melahirkan kebimbangan mereka dengan kerajaan negeri, khususnya Selangor yang mesti bergandingan tangan dengan ahli parti dan pemimpin lain kerana mereka mesti melaksankan polisi yang dilulus dan ditauliahkan oleh PKR,” katanya.

Azmin juga menafikan bahawa beliau dalang yang cuba mengulingkan Khalid daripada kerusi menteri besar dan berkata jika beliau berhasrat berbuat demikian ia akan dilakukannya sejak tahun 2008 dan bukan ketika penggal sekarang hampir berakhir.

Persoalannya, apa juga penafian Azmin, dalam perkiraan ini apakah Anwar berani membelakangkan keakraban beliau dan Azmin selama ini sebaliknya terus mengekalkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor?

No comments:

Post a Comment